Riba Dalam Urusniaga Emas


Hari ini kita dapat mengelakkan riba dalam hutang piutang dengan menghentikan semua urusan dengan institusi kewangan konvensional. Namun itu belum cukup untuk meninggalkan riba sepenuhnya kerana riba wujud dalam kontrak jual beli menerusi urusniaga pertukaran barang tertentu.

Apa hukum lock harga?

Dalam rukun jual-beli, terdapat 5 rukun asas iaitu:
Penjual
Pembeli
Aqad jual-beli
Barang yang dijual
Harga barang yang dijual
Istilah lock harga sebenarnya termasuk dalam rukun yang ke-3 iaitu aqad jual-beli. Hukumnya SAH kerana ia adalah salah satu elemen untuk melengkapkan urusan jual-beli.
Semasa lock harga, kita telah menentukan barang apa yang hendak dibeli dan ditetapkan berapa hargabarang tersebut, ditentukan siapa pembeli dan penjualnya.

Apa hukum jual beli emas bertangguh (tidak dalam satu majlis aqad –hand by hand)?

Disebabkan faktor jarak dan faktor keselamatan transaksi yang melibatkan jumlah wang yang banyak, maka Majma’ Fiqh Dauli (Majlis Fiqah Antarabangsa) yang bermesyuarat di Makkah telah menetapkan masa untuk membayar harga barang belian mestilah tidak melebihi 3 hari bagi mengelakkan unsur riba’ berlaku. Ini menjawab soalan ke-2; hukum tak diberikan emas dan duit hand by hand.

Apa hukum wang kertas? Sama hukumnya seperti emas?

Soalan ke-3, hukum penggunaan wang kertas adalah sama dengan emas yang menjadi barang ribawi sekiranya tidak digunakan dengan kadar dan cara jual beli yang menepati syara’, berdasarkan hadis dari Abdullah bin As-Shamit :

“Emas adalah ditukar (dijual) dengan emas, perak untuk perak, gandum untuk gandum, barli untuk barli, kurma untuk kurma, garam untuk garam, sama jenis antara keduanya dan tunai dengan tunai. Dan sekiranya berbeza antara salah satu jenis barang tersebut, maka berjual belilah seperti mana yang kamu kehendaki selagi mana ianya secara tunai.”

Hadis ini memberitahu kita ada 6 jenis barang ribawi iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam. Maka, pertukaran barang yang sama jenis perlu berlaku secara tunai dan sama nilai. Contohnya, emas 10 gram mesti ditukarkan dengan emas 10 gram juga. Gandum 10 kg mesti ditukarkan dengan gandum 10 kg juga.

Dalam hadis yang lain pula dari Abu Sai’d al-Khudri pula menyatakan:

Jangan kamu menjual emas dengan emas melainkan sama berat dan jangan dijual secara hutang melainkan mesti berlaku secara tunai. - (Bukhari)

Maka walaupun emas dan perak mempunyai ‘illah yang sama iaitu matawang tetapi emas dan perak dua barang ribawi yang berlainan jenis. Maka 10g emas dapat ditukarkan dengan 25g perak asalkan urusniaga ini berlaku secara tunai.

Inilah prinsip dan hukum asal dalam urusniaga barang ribawi.
Barang ribawi yang berlainan jenis dan berbeza ‘illahnya maka kita bebas berurusniaga mengikut cara yang kita mahu. Berbeza nilai mahupun berjual beli secara hutang. Seperti 5g emas ditukarkan dengan 50kg gandum.
Barang ribawi yang berlainan jenis tetapi ‘illahnya sama maka kita perlu berurusniaga secara tunai sahaja dan perbezaan nilai adalah dibenarkan. Seperti 25g perak ditukarkan dengan 1g emas ataupun 10kg gandum ditukarkan dengan 5kg kurma.
Barang ribawi yang sama dan sama ‘illahnya maka kita perlu berurusniaga secara tunai dan sama nilai. 1g emas ditukarkan dengan 1g emas. 1kg kurma ditukarkan dengan 1kg kurma.

Semoga membantu dalam memahami hukum jual-beli emas menurut syara’.

Wallahu a’lam.

[Ustaz Mohammad Nazmi bin Mohsin - Ketua Panel Shari'ah, Jutawan Dua Logam]